Jika anda menggunakan Mac atau memiliki iPhone, anda mungkin sudah biasa dengan pelayar web Safari. Kenyataan bahawa ia telah siap terpasang sebagai pelayar lalai untuk pengguna produk Apple pasti memberikannya banyak kelebihan, tetapi Firefox mempunyai ciri-ciri bergunanya sendiri yang menjadikannya suatu alternatif menarik dan kini dapat ditetapkan sebagai pelayar lalai pada Mac dan iPhone. Di sini kita akan menerokai perbezaan utama antara pelayar kami dengan Safari dari segi privasi, utiliti dan kemudahalihan antara peranti.

Keselamatan dan Privasi
Keselamatan dan Privasi | ![]() |
|
---|---|---|
Mod Pelayaran Peribadi | ||
Menyekat kuki penjejak pihak ketiga secara lalai | ||
Menyekat skrip perlombongan kripto | ||
Menyekat pengesan sosial |
Privasi telah menjadi topik yang amat hangat bagi syarikat teknologi kerana mereka menyedari yang semakin hari semakin ramai orang berasa rentan terhadap perkara seperti kebocoran data, penjejak iklan dan penggodam. Namun, apabila tiba soal alatan sebenar yang digunakan oleh orang ramai untuk menavigasi antara laman web, adakah itu sekadar kata-kata atau adakah mereka sebenarnya mengambil tindakan untuk memastikan data anda selamat?
Seperti yang disebutkan sebelumnya, Apple merupakan salah satu syarikat yang baru-baru ini membuat keputusan untuk meningkatkan privasi mereka. Tidak lama dahulu, Apple telah melaksanakan pencegahan penjejakan silang laman di Safari, yang menghalang iklan daripada mengekori anda di internet. Safari juga menawarkan cadangan kata laluan yang kukuh apabila anda mendaftar akaun baru di mana-mana laman web. Dan jika anda masih ingin terus setia dalam ekosistem iCloud, ia akan menyelaraskan kata laluan tersebut dengan selamat dengan peranti anda yang lain, jadi anda tak perlu mengingatinya.
Sama seperti Safari, kami di Firefox telah menumpukan usaha terhadap privasi dan keselamatan. Tetapi tidak seperti Safari, kami telah lama memegang teguh pendirian kami terhadap privasi. Sebenarnya, Mozilla (syarikat induk kami) merupakan satu daripada syarikat dalam komuniti teknologi yang mula-mula membangkitkan isu berkaitan privasi dalam talian.
Mod Pelayaran Peribadi kami menyekat penjejak dan memadamkan kata laluan, kuki dan sejarah anda setiap kali anda menutup mod tersebut. Tetapi anda juga boleh menikmati ciri privasi lanjutan kami walaupun dalam mod pelayaran biasa. Dengan edisi terbaru Firefox, pencegahan penjejakan yang dipertingkatkan dihidupkan secara lalai. Ini akan menghalang perkara seperti penjejak silang laman daripada mengekori anda semasa anda ke sana ke mari di laman web. Selain itu, dengan Facebook yang hampir setiap hari tertangkap akibat masalah privasi, sambungan Facebook Container kami amat bermakna. Ia menyukarkan lagi Facebook daripada menjejaki anda di seluruh web — serupa dengan tindakan yang dilakukan oleh Safari untuk mencegah penjejakan silang laman — tetapi sebenarnya Firefox memisahkan sesi Facebook anda ke dalam bekas berasingan dan menyekat Facebook daripada menjejaki perkara yang anda lakukan di laman web lain. Lagipun, mengapa mereka perlu tahu apa yang anda cari di WebMD itu?
Berkaitan soal keselamatan, Firefox juga boleh dikatakan mantap. Bila-bila masa anda berada di Firefox, anda boleh klik kanan pada medan kata laluan untuk menghasilkan kata laluan yang kukuh dengan selamat menggunakan pilihan Isi Kata Laluan. Apabila anda menyimpan kata laluan baru, kami akan meminta anda menyimpan kata laluan itu pada pengurus kata laluan terbina dalamnya, Lockwise. Kami juga menawarkan satu lagi produk percuma dan berguna yang dipanggil Monitor kepada pengguna dan pemegang akaun. Produk ini secara automatik akan memberi amaran kepada anda jika data anda terlibat dalam kebocoran data yang diketahui.
Jika anda memilih untuk menggunakan Safari, anda berada dalam jagaan pihak yang boleh diharapkan selagi mana anda menggunakan peranti Apple. Tetapi Safari hanya berfungsi pada peranti Apple, manakala Firefox berfungsi pada Windows, macOS, iOS, Android dan Linux. Jadi, tidak kira sistem operasi mana pun yang anda pilih, Firefox menjaga anda dengan perlindungan keselamatan dan privasi.
Utiliti
Utiliti | ![]() |
|
---|---|---|
Sekatan main automatik | ||
Pelayaran tab | ||
Pengurus tandabuku | ||
Mengisi borang secara automatik | ||
Pilihan enjin carian | ||
Teks ke ucapan | ||
Mod pembaca | ||
Menyemak ejaan | ||
Sambungan/Tambahan Web | ||
Ciri tangkap skrin dalam pelayar |
Apple terkenal dengan ekosistem yang tertutup kerana itu berkaitan dengan pembuatan perisian untuk produknya. Tetapi dalam App Store, ia ada menawarkan bahagian kepada pembangun untuk mencipta plugin dan tambahan bagi memantapkan lagi pelayarnya. Sambungan ini juga boleh dilayari melalui App Store dan boleh ditambah dengan mudah ke Safari.
Selain daripada set ciri biasa yang anda jangkakan dalam satu-satu pelayar, seperti pelayaran tab dan pelayaran peribadi, Safari juga mempunyai beberapa ciri yang tidak dijangka. Contohnya, jika pengguna mengklik kanan satu perkataan di mana-mana bahagian pada halaman dalam Safari, kemudian mengklik Look Up, mereka akan mendapat definisi kamus termasuk entri daripada tesaurus, App Store, filem dan banyak lagi. Kawalan Ibu Bapa Safari mudah disesuaikan, membolehkan orang dewasa berasa tenang ketika anak-anak mulai ingin tahu tentang internet.
Seperti Safari, Firefox turut menggalakkan komuniti pembangunnya yang bersemangat untuk membuat tambahan dan sambungan kepada pelayar. Dan oleh sebab platform kami suatu sumber terbuka, terdapat banyak pilihan untuk menambah lebih banyak fungsi.
Juga, semasa anda mendaftar untuk membuka akaun Firefox, anda akan mendapat akses kepada perkhidmatan unik seperti Pocket yang diintegrasikan terus ke dalam pelayar. Butang Pocket untuk Firefox membolehkan anda menyimpan halaman web dan video ke Pocket dalam satu klik sahaja, jadi anda boleh baca versi yang bersih serta bebas gangguan bila-bila masa dan di mana jua anda mahu — walaupun di luar talian.Firefox juga bagus untuk video dan audio. Dengan sekatan automain yang dibina terus ke dalam pelayar dan dihidupkan secara automatik, tidak ada laman web yang akan mengganggu atau menerjah anda tanpa diundang.
Tangkap Skrin ialah satu lagi ciri popular yang dibina terus ke dalam pelayar Firefox, membolehkan anda menangkap gambar skrin anda dengan mudah. Apabila anda buat tangkapan skrin, anda boleh memilih untuk menyalin fail tersebut atau memilih folder manakah anda ingin meletakkannya agar desktop anda tidak berselerak.
Kedua-dua pelayar mempunyai banyak ciri crossover dan juga beberapa fungsi unik. Perlu disebutkan, jika anda banyak membuat tangkapan skrin, anda tentunya tertanya-tanya cara menguruskan kehidupan tanpa ciri berguna yang dibina terus ke dalam Firefox ini. Tetapi jika anda hanya mencari pelayar peribadi yang pantas untuk melayari internet dan membeli-belah, maka anda mungkin ingin mencuba Firefox — terutamanya jika anda telah menggunakan Safari secara eksklusif kerana ia didatangkan pramuat sebagai pelayar lalai pada komputer anda. Pada akhirnya, anda akan tahu pelayar manakah yang lebih menepati keperluan anda.
Kemudahalihan
Kemudahalihan | ![]() |
|
---|---|---|
Ketersediaan OS | ||
Ketersediaan OS mudah alih | ||
Keselarasan dengan mudah alih | ||
Pengurusan kata laluan | ||
Kata laluan utama |
Kedua-dua Firefox dan Safari memberikan pengalaman yang lancar apabila beralih daripada pelayaran desktop ke mudah alih dan begitu juga sebaliknya. Bagi Safari, salah satu kekuatan utamanya ialah ciri kesinambungannya. Ia menyelaraskan tandabuku anda, tab, sejarah dan banyak lagi ke iCloud, jadi semua itu tersedia pada semua peranti anda. Maknanya, anda boleh buka tab pada iPhone dan kemudian membukanya juga pada komputer riba macOS hanya dengan satu klik.
Firefox juga menawarkan ciri penyelarasan yang serupa ketika anda mendaftar untuk Firefox Account percuma, yang membolehkan pengguna menyelaraskan tandabuku, sejarah pelayaran, keutamaan, kata laluan, borang terisi, tambahan dan 25 tab terakhir yang dibuka pada berbilang komputer. Perkara yang membezakan Firefox dengan Safari ialah ia tersedia pada mana-mana platform desktop atau mudah alih, iOS, Android, Windows atau macOS, lalu itu meningkatkan kemudahalihannya pada semua peranti yang anda miliki.
Aplikasi Firefox untuk iOS dan Android merupakan salah satu pelayar terpantas yang ada dan ia juga mempunyai ciri keselamatan serta anti penjejakan yang mantap — kelebihan besar jika anda orang yang sering beralih-alih daripada komputer riba ke peranti mudah alih dan sebaliknya.
Oleh sebab Safari merupakan pelayar web yang dipunyai oleh Apple, penyelarasan iCloudnya berfungsi secara eksklusif dengan produk Apple. Ini agak membataskan jika, misalnya, anda adalah pengguna Android dan pengguna iPhone atau jika anda mempunyai PC berasaskan Windows untuk bekerja tetapi menggunakan iPhone sebagai peranti peribadi anda.
Penilaian Keseluruhan
Safari menjalankan tugas dengan baik dalam menjadikan pengalaman pelayaran anda mudah, pantas dan lancar jika anda seorang pengguna Apple dengan pelbagai produk Apple. Seperti Safari, Firefox ialah pelayar yang pantas dan utilitarian, tetapi privasi dan keserasian silang platform merupakan ciri khusus kami. Firefox dikemaskinikan setiap bulan dengan ciri dan fungsi baru. Sebagai contoh, satu kemas kini baru-baru ini menghidupkan Perlindungan Penjejakan Dipertingkatkan (ETP) kami secara lalai untuk pengguna baru, yang dengan berkesan menyekat kuki dan penjejak silang laman.
Akhirnya, semuanya bergantung pada apa yang anda utamakan dalam pelayar anda. Jika anda telah sebati dengan ekosistem Apple, Safari tetap pilihan yang terbaik. Tetapi jika anda mengutamakan perlindungan privasi yang terbaru dan terhebat dan boleh bekerja pada pelbagai sistem operasi, kami fikir memilih Firefox ialah tindakan yang sebaik-baiknya. Firefox juga merupakan pilihan yang bagus sebagai pelayar sekunder untuk para pengguna eksklusif Apple yang ingin bertukar kepada pelayar lain, bagi saat-saat dalam talian yang memerlukan lapisan perlindungan privasi tambahan.
Perbandingan yang dibuat di sini dilakukan dengan tetapan lalai dan dengan semua versi keluaran pelayar seperti yang berikut:
Firefox (81) |
Safari (14)
Halaman ini dikemas kini setiap suku tahun untuk menunjukkan versi terkini dan mungkin tidak sentiasa menunjukkan kemas kini terkini.