Terma Perkhidmatan Hubs

Versi 1.3, berkuat kuasa pada 01 November 2023

Hubs ("Perkhidmatan") merupakan perkhidmatan pratonton baharu yang membolehkan anda menyediakan dan mengurus set platform komunikasi masa nyata anda sendiri untuk realiti maya, realiti terimbuh, komputer meja, komputer riba atau telefon bimbit. Hubs tersedia dalam bentuk perkhidmatan langganan berbayar.

Terma Perkhidmatan ini akan menerangkan hak dan tanggungjawab anda semasa anda menggunakan Hubs. Dengan membeli dan menggunakan Hubs, anda meyakinkan Mozilla bahawa anda telah membaca dan bersetuju dengan terma ini. Jika anda bersetuju dengan terma ini bagi pihak entiti, contohnya majikan anda, anda menyatakan bahawa anda diberi kuasa dan berniat untuk mengikat entiti tersebut. Versi legasi Hubs masih tersedia buat masa ini dan dikawal oleh Terma Perkhidmatan ini kecuali Seksyen 1 untuk Langganan Hubs.

1. Langganan Hubs

Anda Memerlukan Akaun Mozilla

Akaun Mozilla diperlukan untuk menggunakan Perkhidmatan. Untuk mencipta akaun Mozilla, anda juga perlu bersetuju dengan Terma Perkhidmatan dan Notis Privasi untuk akaun Mozilla anda.

Pembayaran Anda

Pembayaran. Kami menawarkan Perkhidmatan sebagai perkhidmatan langganan yang diperbaharui secara automatik. Ketika anda mendaftar, anda memberi kami kuasa untuk mengenakan yuran langganan bagi penggal pertama Perkhidmatan pada kaedah pembayaran yang anda berikan. Pelan anda akan diperbaharui secara automatik pada hujung setiap penggal dan anda memberi kami kuasa untuk mengenakan yuran langganan pada setiap penggal. Jika anda berhenti membuat pembayaran, kami akan menggantung akaun anda dengan segera dan akan memadamkan akaun tersebut selepas 2 bulan tanpa pembayaran.

Dasar Bayaran Balik 30 Hari. Pada kali pertama anda melanggan Perkhidmatan melalui laman web Mozilla, jika anda membatalkan akaun anda dalam masa 30 hari, anda boleh meminta bayaran balik dan Mozilla akan membayar balik langganan penggal pertama anda. Tawaran ini hanya terpakai untuk kali pertama anda melanggan. Perkara ini merupakan tambahan kepada mana-mana hak yang mungkin anda miliki di bawah undang-undang pengguna di negara anda.

Anda Boleh Membatalkan Langganan Anda pada Bila-bila Masa

Pembatalan. Anda boleh membatalkan langganan Perkhidmatan anda pada bila-bila masa dengan menyahaktifkan akaun anda dan membatalkan langganan anda. Anda boleh berbuat demikian dengan mengklik pautan “Batalkan Langganan” dalam mana-mana e-mel yang kami hantar kepada anda berkenaan dengan Perkhidmatan atau pergi ke seksyen Langganan & Bayaran pada akaun Mozilla anda dan klik “Batal”. Jika anda memilih untuk membatalkan langganan, pembaharuan secara automatik akan dihentikan, kami tidak akan mengenakan bayaran kepada anda untuk mana-mana tempoh pembayaran akan datang dan anda akan kehilangan akses kepada Perkhidmatan pada hujung kitaran pengebilan semasa.

2. Komunikasi dan Kandungan

Hubs membenarkan pengguna anda menghantar maklumat (seperti audio, video, teks, imej, model 3D dan pemandangan) kepada pengguna lain.

Dengan mendaftar dan mencipta Hubs anda, anda bersetuju untuk memberi Mozilla semua hak yang diperlukan untuk mengendalikan Hubs. Anda juga meyakinkan Mozilla bahawa anda mempunyai atau telah memperoleh hak dan kuasa yang diperlukan untuk memberi Mozilla semua hak dan kebenaran yang diperlukan untuk pengendalian Hubs. Perkara ini termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, lesen dan kebenaran untuk memproses, menghantar dan memaparkan maklumat yang anda dan pengguna anda hantar melalui Hubs. Perkara ini juga termasuk kebenaran untuk mengumpulkan dan berkongsi maklumat yang diterangkan dalam Notis Privasi Hubs.

Apabila anda dan pengguna anda menyerahkan maklumat kepada Hubs, pencipta asal maklumat tersebut akan terus memiliki hak cipta terhadap kandungan tersebut. Anda memberi Mozilla lesen seluruh dunia, tanpa royalti, berterusan, tidak boleh dibatalkan, bukan eksklusif, boleh dipindahkan dan boleh disublesenkan untuk menggunakan, menyalin, mengubah suai, menyesuaikan, menyediakan kerja terbitan daripada, mengedarkan, melaksanakan dan memaparkan maklumat, audio, video, imej atau model 3D tersebut untuk tujuan pengendalian Hubs. Anda juga bersetuju bahawa kami mungkin mengalih keluar metadata yang berkaitan dengan maklumat atau data yang anda serahkan. Jika anda atau salah seorang pengguna anda membenarkan pengadunan semula pemandangan atau avatar, anda bersetuju untuk melesenkan pemandangan atau avatar tersebut di bawah lesen CC-BY 3.0.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara Hubs beroperasi, anda boleh melihat sumber kod.

Mana-mana idea, cadangan dan maklum balas berkenaan dengan Hubs yang anda berikan kepada kami adalah secara sukarela sepenuhnya dan anda bersetuju bahawa Mozilla mungkin menggunakan idea, cadangan dan maklum balas tersebut tanpa pampasan atau kewajipan kepada anda.

Anda bertanggungjawab terhadap maklumat yang anda atau pengguna anda hantar, cipta atau sunting menggunakan Hubs, serta akibat penghantaran, penciptaan atau penyuntingan maklumat tersebut.

Privasi. Anda bertanggungjawab terhadap privasi individu yang menggunakan Hubs anda. Perkara ini termasuklah pematuhan semua undang-undang privasi yang berkenaan. Notis Privasi Hubs menerangkan cara Mozilla menerima dan mengendalikan data untuk menjalankan Perkhidmatan.

Mozilla ialah sebuah organisasi global, dan komputer kami dan komputer penyedia perkhidmatan mungkin berada di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat. Perkara ini bermakna maklumat anda dan maklumat pengguna anda mungkin diproses pada server yang terletak di luar negara yang anda atau pengguna anda tinggal, dan negara tersebut mungkin mempunyai tahap peraturan perlindungan data yang berbeza berbanding dengan negara anda. Dengan menggunakan Perkhidmatan, anda meyakinkan Mozilla bahawa anda membenarkan pemindahan maklumat pengguna sebegini dan anda telah mendapat kebenaran yang diperlukan daripada individu yang menggunakan Hubs anda.

3. Syarat Penggunaan

Dengan menggunakan Hubs, anda bersetuju bahawa anda akan mematuhi Dasar Penggunaan Boleh Diterima Mozilla. Mozilla berhak untuk mengalih keluar mana-mana kandungan, menggantung mana-mana pengguna dan menutup mana-mana bilik Hub atau individu yang dipercayai telah melanggar syarat ini.

Kelayakan. Untuk menggunakan perkhidmatan langganan berbayar, anda mestilah berada di negara yang Hubs tersedia. Buat masa ini, Hubs tersedia di Kanada, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Penggunaan Hubs oleh Anda. Jika anda mempunyai langganan berbayar semasa bagi Hubs, Mozilla memberi anda kebenaran untuk menggunakan Hubs mengikut Terma Perkhidmatan ini. Anda tidak boleh memindahkan dan menjual semula Perkhidmatan Hubs tersebut. Lesen yang dibeli hanya boleh digunakan oleh individu atau entiti yang memiliki akaun Mozilla yang dikaitkan dengan tika Hubs.

Dengan langganan berbayar, anda boleh mempunyai hingga 25 pengguna bagi setiap bilik Hubs dan ruang storan hingga 2GB untuk Hubs anda.

Pematuhan Undang-Undang. Bergantung pada tempat anda dan pengguna anda berada serta tempat anda menyediakan Hubs anda, anda mungkin tertakluk pada undang-undang dan peraturan tertentu, khususnya undang-undang privasi data. Anda bertanggungjawab untuk peka terhadap mana-mana undang-undang dan peraturan yang mungkin terpakai untuk Hubs anda. Antara anda dengan Mozilla, anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan bahawa cara anda mengendalikan data mematuhi sepenuhnya semua undang-undang dan peraturan yang berkenaan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara Hubs beroperasi, anda boleh melihat sumber kod.

4. Hak Mozilla

Mozilla tidak memberi anda apa-apa hak harta intelek dalam Hubs melainkan Terma ini menyatakan sebaliknya secara khusus. Sebagai contoh, Terma ini tidak menyediakan hak untuk menggunakan mana-mana hak cipta Mozilla, nama dagangan, tanda dagangan, tanda perkhidmatan, logo, nama domain atau ciri jenama tersendiri yang lain.

Mozilla mengedarkan perisian Hubs di bawah lesen sumber terbuka. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh membaca lesen untuk Hubs atau membaca Soalan Lazim.

5. Gangguan Perkhidmatan; Terma; Penamatan

Kami membangunkan Hubs secara berterusan. Hasilnya, kami merancang untuk menaik taraf dan mengubah Hubs dari masa ke masa. Untuk berbuat demikian, kami mungkin perlu menggantung perkhidmatan Hubs sementara dan kami tidak sentiasa mampu untuk memberikan notis. Anda tidak layak untuk menuntut perbelanjaan atau kerosakan akibat penggantungan atau pengehadan penggunaan Hubs sedemikian.

Kami mungkin menghentikan akses anda kepada Hubs, sama ada secara sementara atau kekal pada bila-bila masa atas apa-apa sebab. Perkara ini termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, situasi yang kami mempercayai secara wajar bahawa: (i) anda telah melanggar Terma ini; (ii) anda menimbulkan risiko atau kemungkinan pendedahan undang-undang bagi Mozilla; atau (iii) penyediaan dan pengendalian Hubs tidak lagi berdaya maju dari segi komersial. Sekiranya boleh, kami akan berusaha secara munasabah untuk memberitahu anda melalui Hubs.

Dalam semua keadaan tersebut, Terma ini akan ditamatkan, termasuk, tanpa had, lesen anda untuk menggunakan Hubs, kecuali sekyen yang mempunyai tajuk berikut akan terus terpakai: Ganti Rugi, Penafian; Had Liabiliti and Lain-lain.

6. Ganti Rugi

Anda bersetuju untuk melindungi, membayar ganti rugi dan tidak membuatkan Mozilla, dan setiap syarikat induk dan syarikat gabungannya, kontraktor, penyumbang, pelesen, rakan kongsi, pengarah, pegawai, pekerja dan ejen ("Pihak yang Dibayar Ganti Rugi") bertanggungjawab terhadap mana-mana dan semua tuntutan dan perbelanjaan pihak ketiga, termasuk yuran guaman, yang berpunca atau berkaitan dengan penggunaan Hubs oleh anda. Perkara ini termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, tuntutan dan perbelanjaan daripada mana-mana kandungan yang anda atau pengguna anda hantar, sunting atau cipta menggunakan Hubs.

7. Penafian; Had Liabiliti

PERKHIDMATAN DISEDIAKAN "SEADANYA" BERSAMA DENGAN SEMUA KESILAPAN. SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, MOZILLA DENGAN INI MENAFIKAN SEMUA JAMINAN, SAMA ADA YANG TERSURAT ATAU TERSIRAT, TERMASUK TANPA HAD, JAMINAN BAHAWA PERKHIDMATAN BEBAS DARIPADA KECACATAN, BOLEH NIAGA, SESUAI UNTUK TUJUAN TERTENTU DAN TIDAK MELANGGAR PERUNTUKAN.

ANDA MENANGGUNG KESELURUHAN RISIKO TERHADAP PEMILIHAN PERKHIDMATAN UNTUK KEPERLUAN ANDA DAN TERHADAP KUALITI DAN PRESTASI PERKHIDMATAN, TERMASUK TANPA HAD, RISIKO BAHAWA KANDUNGAN ANDA DIPADAMKAN ATAU ROSAK. PENGEHADAN INI AKAN TERPAKAI WALAUPUN TERDAPAT KEGAGALAN TUJUAN PENTING MANA-MANA REMEDI. SESETENGAH BIDANG KUASA TIDAK MEMBENARKAN PENGECUALIAN ATAU PENGEHADAN TERHADAP JAMINAN TERSIRAT, MAKA PENAFIAN INI MUNGKIN TIDAK TERPAKAI UNTUK ANDA.

MELAINKAN DITUNTUT OLEH UNDANG-UNDANG, MOZILLA TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP MANA-MANA KERUGIAN TIDAK LANGSUNG, KHAS, KEBETULAN, TURUTAN ATAU TELADAN YANG BERPUNCA ATAU DALAM APA-APA CARA BERKAITAN DENGAN TERMA INI ATAU PENGGUNAAN ATAU KETIDAKUPAYAAN UNTUK MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN, TERMASUK TANPA HAD, KERUGIAN LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG TERHADAP KEHILANGAN NAMA BAIK, PENGHENTIAN KERJA, KEHILANGAN KEUNTUNGAN, KEHILANGAN DATA DAN KEGAGALAN ATAU MALFUNGSI KOMPUTER, WALAUPUN PENGGUNA TELAH DINASIHATKAN BERKENAAN DENGAN KEMUNGKINAN BERLAKUNYA KERUGIAN TERSEBUT DAN TANPA MENGIRA MANA-MANA TEORI (KONTRAK, TORT ATAU SEBALIKNYA) YANG MENJADI ASAS TUNTUTAN TERSEBUT. LIABILITI KOLEKTIF YANG DITANGGUNG OLEH MOZILLA DI BAWAH PERJANJIAN INI TIDAK AKAN MELEBIHI $500 (LIMA RATUS DOLAR). SESETENGAH BIDANG KUASA TIDAK MEMBENARKAN PENGECUALIAN ATAU PENGEHADAN KERUGIAN KEBETULAN, TURUTAN ATAU KHAS, MAKA PENAFIAN DAN PENGEHADAN INI MUNGKIN TIDAK TERPAKAI UNTUK ANDA.

8. Pengubahsuaian Terma Ini

Mozilla mungkin mengemas kini Terma ini dari masa ke masa. Kami akan menyiarkan Terma yang telah dikemas kini dalam talian. Sekiranya perubahan yang dibuat bersifat substansif, kami mungkin mengumumkan kemas kini tersebut melalui saluran Mozilla yang biasa untuk pengumuman sedemikian seperti siaran blog, forum atau dalam perkhidmatan itu sendiri, dalam keadaan ini: Hubs.

Jika anda terus menggunakan Hubs selepas kami menyiarkan Terma baharu bermaksud anda bersetuju dengan Terma baharu tersebut. Untuk memudahkan semakan anda, kami akan menyiarkan tarikh berkuat kuasa pada bahagian atas halaman ini.

9. Hubungi Kami

Untuk mendapatkan sokongan, memberikan maklum balas atau melaporkan salah guna Hubs atau pelanggaran Syarat Penggunaan, anda boleh menghantar e-mel kepada kami di hubs@mozilla.com.

Anda boleh melihat dasar tuntutan pelanggaran hak cipta atau tanda dagangan kami.

Untuk melihat notis yang lain, anda boleh menghantar e-mel kepada kami di legal-notices@mozilla.com atau hantar surat kepada kami di Mozilla Corporation Mozilla Corporation
Attn: Mozilla – Legal Notices
149 New Montgomery Street
4th Floor
San Francisco, CA 94105

legal-notices@mozilla.com

Sekiranya terdapat percanggahan atau kesamaran antara versi terma ini yang diterjemah dengan versi bahasa Inggeris, versi bahasa Inggeris terpakai.