Mozilla VPN

5 sebab mengapa anda harus menggunakan VPN

Berikut adalah lima situasi di mana anda perlu mempertimbangkan VPN yang boleh dipercayai. Rapatkan jurang dalam keselamatan dalam talian anda dengan Mozilla VPN.

Dapatkan Mozilla VPN

Jaminan wang dikembalikan dalam masa 30 hari

Dengan meningkatnya kebergantungan hidup kita di internet, privasi dan keselamatan dalam talian menjadi sangat mustahak. VPN —Virtual Private Network — boleh membantu sesiapa saja menjadikan sambungan mereka ke internet lebih selamat dan peribadi. Ia berfungsi dengan cara menghasilkan "laluan" yang selamat di antara peranti anda dengan internet secara keseluruhannya, dan melindungi anda dalam dua kaedah yang penting:

  1. Menyembunyikan alamat IP anda yang sebenar. Ini melindungi identiti dan mengaburkan lokasi anda.
  2. Mengenkripsi trafik di antara anda dan penyedia VPN agar tiada sesiapa pun dalam rangkaian tempatan anda dapat mengurai atau mengubah suainya.

Memiliki VPN di hujung jari di saat anda memerlukannya adalah satu idea yang baik. Berikut adalah beberapa contoh senario di mana VPN yang boleh dipercayai amat berguna di luar jangkaan anda.

1. Jalan-jalan di taman

Di suatu pagi Sabtu yang indah, anda duduk di bangku taman rekreasi dan menikmati secawan kopi panas sambil membaca berita kegemaran anda, menonton video-video menarik dan membeli-belah dalam talian dengan pancaran mentari pagi dan udara segar. Daripada menghabiskan data mudah alih anda sendiri, anda menggunakan WiFi awam yang disediakan oleh pihak perbandaran. Jika ia percuma dan diselenggara oleh pihak perbandaran, tentu ia selamat, bukan? Hakikatnya, anda tidak dapat memastikan rangkaian itu selamat atau benar (lihat item seterusnya) dan disediakan untuk melindungi anda daripada mereka yang berniat jahat atau entiti pengintip sewaktu anda dalam talian. Menggunakan VPN dapat membantu melindungi peranti anda daripada mereka yang cuba mengintip laman yang anda kunjungi atau merampas maklumat log masuk anda yang sensitif semasa anda sedang bersantai di bangku taman itu sebarang hari dalam seminggu.

2. Di kawasan kejiranan anda

Pernahkah anda menggunakan hotspot yang dinamakan seperti TM-FREE-WiFi-Cheras atau TIME-WiFi-Guest-Free? Nampak macam sah, bukan? Tunggu dulu. Hakikatnya, sesiapa saja boleh menetapkan rangkaian WiFi awam palsu dengan nama yang kedengaran sah untuk memancing orang lain menggunakannya. Dengan bersambung ke rangkaian WiFi yang tidak diketahui kesahihannya menjadikan anda sasaran mudah bagi penjenayah dan penyumbaleweng untuk mengakses peranti anda dan mencuri maklumat sensitif, menanam perisian hasad atau lebih buruk lagi. Mozilla VPN mampu meningkatkan tahap keselamatan setiap kali anda bersambung ke WiFi awam dengan cara menyekat entiti tidak dikenali daripada melihat data peribadi yang bergerak dari telefon atau komputer riba anda. Ini termasuklah sambungan ke rangkaian WiFi di kafe, kedai mamak, hospital, kedai makan dan sebagainya.

3. Sewaktu dalam perjalanan

WiFi awam banyak tersedia jika kita dalam perjalanan, sama ada hotspot di terminal bas, di stesen kereta api mahupun internet percuma di lapangan terbang. Dan tidak kira berapa selamat pun ia kelihatan, anggaplah rangkaian hotspot percuma ini dicurigai dan tidak selamat. Ramai di antara kita akan menggunakan rangkaian percuma ini atas dasar kemudahan, namun semua risiko yang dijelaskan dalam artikel ini tertakluk kepada semua rangkaian WiFi terbuka yang tidak dapat disahkan. Penggunaan VPN mampu melindungi identiti anda, pemindahan fail dan aktiviti dalam talian daripada golongan yang berniat jahat yang ingin mengintip anda menerusi rangkaian WiFi terbuka ini.

4. Jauh dari rumah

Jika anda sedang menyewa ruang kerja sementara atau merancang penginapan Airbnb, kemungkinan besar tempat-tempat ini menyediakan WiFi percuma. Sekalipun WiFi di lokasi sebegini dilindungi kata laluan, ia tidak menjamin keselamatannya secara automatik. Pertama, pemilik premis mungkin sedang mengakses rangkaian tersebut untuk menjejak aktiviti dalam talian anda. Kedua, jika mereka tidak pernah mengubah kata laluan antara tetamu, mana-mana tetamu terdahulu boleh mengakses serentak dengan anda. Tambahan pula, tetamu terdahulu mungkin pernah mengakses router pemilik premis dan memasang perisian yang membolehkan mereka mengintip router secara jauh. Banyak yang perlu dipertimbangkan! Tindakan paling bijak yang boleh anda ambil adalah menggunakan VPN yang dipercayai setiap kali anda bersambung ke rangkaian WiFi seperti ini melalui telefon, komputer riba atau tablet anda. Ini termasuk juga di hotel mahu pun hostel.

5. Di rumah anda sendiri

Seringkali, senario seperti di atas tidak berlaku untuk rangkaian anda di rumah, selagi ia ditetapkan dengan betul menggunakan kata laluan yang kukuh termasuk langkah-langkah keselamatan. Tetapi itu tidak bermakna anda telah bebas daripada mata yang memerhati.

Kerana trafik internet anda di rumah pergi dan kembali ke peranti anda melalui penyedia perkhidmatan internet — ringkasnya ISP — mereka dapat melihat ke mana anda pergi dalam talian. ISP dapat melihat laman web yang anda lawati, berapa lama anda berada di sana, lokasi dan maklumat mengenai peranti anda. ISP mungkin tidak mengetahui secara terperinci apa yang anda buat di laman web tersebut (seperti apa yang anda beli, cari atau baca) akibat enkripsi, tetapi mereka dapat membuat kesimpulan mengenai anda berdasarkan laman web yang anda lawati. Data peribadi tersebut mampu digunakan oleh ISP untuk mencipta profil yang terperinci tentang anda. Belayar dalam mod peribadi tidak mampu menghalang ISP ini daripada memerhatikan ke mana anda pergi dalam talian. Tetapi menghantar trafik web anda menerusi VPN menyukarkan lagi pemerhatian mereka.

Pastikan anda faham apa yang VPN tidak mampu lakukan

VPN memberikan pautan keselamatan yang penting dengan cara melindungi data peribadi anda sebelum ia bergerak melalui internet, selain menyembunyikan alamat IP anda dan membantu melindungi identiti dan lokasi anda. Ia tidak akan menghindari anda daripada terpedaya dengan pautan yang mencurigakan, memuat turun perisian hasad atau menjadi mangsa penipuan e-mel. Anda masih perlu mengamalkan tabiat atas talian yang baik dan selamat.

Mozilla VPN, perkhidmatan VPN yang dipercayai

Perkara paling mustahak untuk dipertimbangkan dalam pemilihan VPN ialah memilih syarikat yang dipercayai. Pastikan anda faham terma dan syarat yang anda persetujui itu. Banyak syarikat yang mengaku menjadi juara privasi tetapi pada masa yang sama banyak juga yang tidak memenuhi janji mereka itu. Bukan semua perkhidmatan proksi dan VPN selamat dan peribadi. Ada di antara syarikat ini yang akan merekod aktiviti dalam talian anda agar mereka dapat menjual data dan maklumat anda kepada firma pemasaran. Ada juga perkhidmatan yang meyakinkan anda memasang perisian hasad dalam peranti anda.

Kami telah menjalankan kerja yang teliti bagi memastikan Mozilla VPN menghormati privasi anda, dan kami meletakkan reputasi kami sebagai pertaruhannya. Mozilla mempunyai reputasi sebagai pembangun produk yang membantu mengekalkan keselamatan maklumat anda. Kami mematuhi Prinsip Privasi Data kami yang mudah difahami yang membolehkan kami untuk hanya fokus kepada maklumat yang kami perlukan demi memberikan perkhidmatan kami. Dan selain disokong penuh oleh sebuah syarikat yang didorongi misi, percayalah bahawa wang yang anda percayakan untuk produk ini bukan hanya dapat memastikan keselamatan tahap tertinggi tetapi juga menjadikan internet lebih selamat untuk semua.

Mozilla VPN

Dapatkan Mozilla VPN

Lihat harga & ketersediaan

Jaminan wang dikembalikan dalam masa 30 hari