Manifesto Mozilla
Manifesto Mozilla, ditulis pada tahun 2007, menggariskan prinsip utama kami. Ikrar Demi Internet yang Sihat ditulis pada tahun 2017 sebagai tambahan kepada Manifesto bagi mencerminkan komitmen kami yang mendalam dalam memastikan internet menjadi platform yang mampu berkhidmat kepada manusia sejagat. Bersama, kedua-dua dokumen ini menjadi panduan bagi Mozilla secara keseluruhannya — perkara yang kami bangunkan, perkara yang kami biayai dan cara kami bekerjasama sebagai satu komuniti.
Pengenalan
Internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Projek Mozilla adalah komuniti global yang percaya bahawa keterbukaan, inovasi, dan peluang adalah kunci kepada kesihatan internet yang berterusan. Kami telah bekerjasama sejak 1998 bagi memastikan internet dibangunkan dengan cara yang memberi faedah kepada semua orang. Kami paling dikenali sebagai pereka pelayar webMozilla Firefox.
Projek Mozilla menggunakan pendekatan berasaskan komuniti bagi mencipta perisian sumber terbuka bertaraf dunia serta membangunkan aktiviti kerjasama yang baru. Kami mengasaskan komuniti yang terlibat dalam menjadikan pengalaman internet lebih baik untuk kita semua.
Hasil usaha ini, kami telah mengenal pasti prinsip-prinsip yang kami yakini penting bagi internet untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat termasuklah aspek komersial dalam kehidupan. Prinsip kami adalah seperti berikut.
Matlamat Manifesto ini ialah:
- menjelaskan satu visi internet di mana peserta Mozilla mahukan Mozilla Foundation turuti;
- bercakap dengan pengguna sama ada mereka mempunyai latar belakang teknikal atau tidak;
- menjadikan penyumbang Mozilla bangga dengan apa yang mereka laksanakan dan memotivasikan kami untuk terus maju; dan
- membekalkan rangka kerja untuk pengguna lain memajukan lagi visi internet ini.
Prinsip ini tidak akan dicapai dengan sendirinya. Tenaga manusia diperlukan bagi menjadikan internet terbuka dan untuk semua - pengguna bertindak sebagai individu, bekerjasama dalam kumpulan, dan memimpin yang lain. Mozilla Foundation komited untuk menjayakan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Manifesto Mozilla. Kami menjemput lebih ramai lagi untuk menyertai kami dan menjadikan internet sebuah tempat yang lebih baik untuk semua orang.
Prinsip-prinsip
-
Internet adalah sumber yang penting dalam kehidupan moden—komponen yang penting dalam pendidikan, komunikasi, kolaborasi, perniagaan, hiburan dan masyarakat secara keseluruhan.
-
Internet merupakan suatu sumber awam global di mana keterbukaan dan aksesnya perlu dikekalkan.
-
Internet perlu menjadi pemacu dalam memperkaya kehidupan manusia sejagat.
-
Keselamatan dan privasi individu di internet adalah keperluan asas dan bukannya dianggap sebagai pilihan.
-
Individu perlu mempunyai keupayaan untuk membentuk internet serta pengalaman mereka sendiri di dalamnya.
-
Keberkesanan internet sebagai sumber awam bergantung kepada kebolehannya beroperasi (protokol, format data, kandungan), inovasi serta penyertaan tidak berpusat di seluruh dunia.
-
Perisian percuma dan sumber terbuka menggalakkan perkembangan internet sebagai sumber awam.
-
Proses telus yang berasaskan komuniti menggalakkan penyertaan, rasa tanggungjawab dan kepercayaan.
-
Penglibatan secara komersial dalam pembangunan internet membawa banyak faedah; keseimbangan keuntungan komersial dan manfaat awam amat kritikal.
-
Memberi fokus terhadap aspek manfaat awam di internet adalah matlamat yang penting dan ia memerlukan masa, perhatian dan komitmen.
Ikrar untuk Internet yang Sihat
Internet yang terbuka dan global adalah sumber komunikasi dan kolaborasi paling terhebat yang pernah kita lihat. Ini merangkumi beberapa harapan jati diri kita untuk kemajuan manusia. Ia membolehkan peluang belajar yang baru, membina rasa kemanusiaan yang dikongsi bersama, dan menyelesaikan masalah paling mendesak yang sedang dihadapi oleh manusia keseluruhannya.
Dalam sedekad yang lampau, kami telah menyaksikan janji ini dipenuhi dalam banyak cara. Kami juga telah menyaksikan kuasa internet digunakan untuk melebarkan jurang, menghasut keganasan, menggalakkan kebencian dan memanipulasikan fakta dan realiti. Kami telah ketahui bahawa kita perlu meletakkan aspirasi yang lebih jelas dan terperinci untuk pengalaman manusia di internet. Inilah yang kami lakukan sekarang.
Komitmen Kami
-
Kami komited kepada internet yang merangkumi sekalian manusia di dunia — di mana bukan ciri-ciri demografi yang menentukan aksesnya peluang, atau kualiti pengalamannya.
-
Kami komited kepada internet yang menggalakkan wacana bertamadun, martabat manusia dan ekspresi individu.
-
Kami komited kepada internet yang meningkatkan pemikiran kritikal, hujah munasabah, perkongsian ilmu, dan fakta yang sah.
-
Kami komited kepada internet yang menjadi pemangkin kepada kerjasama di antara komuniti yang berbeza bermatlamatkan kebaikan bersama.
Ikrar Mozilla
Kami berikrar untuk menyokong Manifesto Mozilla dalam semua aktiviti-aktivitinya merentasi semua Projek Mozilla serta setiap organisasi di bawah keluarga Mozilla. Secara khususnya, kami akan:
- membina dan membolehkan teknologi sumber terbuka dan komuniti yang menyokong prinsip-prinsip Manifesto;
- membina dan menawarkan produk pengguna terbaik yang menyokong prinsip-prinsip Manifesto;
- menggunakan aset-aset Mozilla (harta intelek seperti hak cipta dan tanda dagangan, infrastruktur, dana dan reputasi) untuk mengekalkan internet sebagai platform terbuka
- mempromosikan model bagi mencipta nilai ekonomi bagi kepentingan awam; dan
- mempromosikan prinsip-prinsip Manifesto Mozilla dalam wacana awam dan terhad di dalam industri internet.
Kami Perlukan Anda Untuk Memajukan Manifesto Ini
Internet yang sedemikian kualitinya tidak akan wujud dengan sendiri. Insan dan organisasi perlu menanam aspirasi sebegini ke dalam teknologi internet serta pengalaman manusia menggunakan internet. Manifesto dan Adendum Mozilla ini mewakili komitmen Mozilla untuk membawa aspirasi ini ke hadapan. Mozilla bekerjasama dengan mana-mana insan dan organisasi yang mahu menjadikan internet lebih baik untuk semua orang.
Jika anda berkongsi matlamat ini, maklumkan cara kami boleh membantu anda.
- Kami bangunkan perisian sumber terbuka agar anda mampu membina menggunakannya.
- Kami biayai felo dan inkubator projek yang menyasarkan masa depan dalam talian yang lebih baik.
- Kami bangunkan perkakas AI sumber terbuka yang memberikan para pembangun pilihan — dan membantu mereka menjimatkan wang.
- Kami melabur dalam pemula niaga teknologi yang bertanggungjawab.
- Kami menguruskan komuniti global demi pertukaran data yang bersifat adil.
- Kami menganjurkan perhimpunan global tahunan untuk sesiapa yang membangunkan apa saja demi memacu Manifesto kami ke hadapan.
Maka, sudah pastinya kami yang membangunkan Firefox dan Thunderbird. Ini semua disasarkan untuk membantu lebih ramai orang menjadikan internet sebagai tempat yang lebih selamat.