Sejarah Projek Mozilla

Projek Mozilla ditubuhkan pada tahun 1998 dengan terbitan kod sumber pelayar suit Netscape. Ini bertujuan untuk memanfaatkan kreativiti ribuan pengaturcara di internet dan meningkatkan inovasi yang belum pernah dilihat dalam pasaran pelayar internet. Dalam tahun pertamanya, ahli komuniti baru dari segenap pelosok dunia telah pun menyumbangkan fungsi-fungsi baru, meningkatkan ciri-ciri sedia ada dan melibatkan diri dalam pengurusan dan perancangan projek itu sendiri.

Dengan mewujudkan komuniti terbuka, projek Mozilla telah menjadi lebih besar daripada mana-mana syarikat tunggal. Ahli komuniti melibatkan diri dan mengembangkan skop projek misi asalnya — berbanding hanya membangunkan pelayar seterusnya untuk Netscape, para ahli mula membina pelbagai pelayar, alat pembangunan dan pelbagai lagi rangkaian projek. Ramai yang memberi sumbangan kepada Mozilla dalam cara yang berbeza, namun keghairahan utama mereka ialah menghasilkan perisian percuma yang membolehkan pengguna bebas melayari internet mengikut kehendak mereka sendiri.

Selepas beberapa tahun dibangunkan, versi utama pertama Mozilla 1.0 telah dikeluarkan pada 2002. Versi ini menampilkan banyak penambahbaikan pada pelayar, e-mel dan termasuklah suit aplikasi yang lain, tetapi tidak ramai penggunanya. Menjelang 2002, lebih 90% pengguna internet menggunakan Internet Explorer. Tidak ramai yang mengetahuinya tapi versi Phoenix (kemudiannya dinamakan Firefox) juga diterbitkan oleh ahli komuniti Mozilla pada tahun yang sama dengan matlamat untuk memberikan pengalaman pelayaran terbaik kepada lebih ramai pengguna.

Pada tahun 2003, projek Mozilla menubuhkan Mozilla Foundation, satu organisasi bebas bukan berasaskan keuntungan yang disokong oleh penderma individu dan pelbagai syarikat lain lagi. Mozilla Foundation ini meneruskan pengurusan operasi harian projek tersebut sekaligus mengambil alih peranan rasmi mempromosikan keterbukaan, inovasi dan peluang di internet. Ia terus mengeluarkan perisian seperti Firefox dan Thunderbird selain berkembang dalam bidang lain contohnya memberikan geran menyokong peningkatan akses ke internet.

Firefox 1.0 diterbitkan pada 2004 mengecapi kejayaan besar — dalam tempoh kurang setahun, ia telah dimuat turun lebih 100 juta kali. Versi baru Firefox kemudiannya diterbitkan secara konsisten sejak daripada itu dan terus memecahkan rekod. Kemasyhuran Firefox telah membantu memberikan pilihan kepada pengguna. Persaingan sihat ini memacu inovasi dan menaikkan taraf internet untuk semua orang.

Pada tahun 2013, kami melancarkan Firefox OS bagi mengoptimumkan kuasa internet di telefon pintar dan sekali lagi menawarkan kawalan dan pilihan kepada pengguna dalam talian.

Mozilla juga menyambut ulang tahunnya yang ke-15 pada tahun 2013. Komuniti ini telah membuktikan bahawa syarikat komersil juga mampu bersaing dengan kolaborasi dalam projek sumber terbuka dan produk pengguna yang bermanfaat boleh dibangun menggunakan perisian sumber terbuka. Lebih ramai orang berbanding sebelumnya kini menggunakan internet dan mengalaminya dalam bahasa mereka sendiri. Sebuah organisasi yang mampan dibentuk menggunakan mekanisme pasaran bagi menyokong kepentingan awam. Model ini telah di guna pakai oleh banyak entiti untuk menubuhkan organisasi yang terbuka, telus dan berkolaborasi dalam pelbagai bidang yang luas.

Masa depan tampak penuh dengan cabaran dan peluang seperti mana masa silam kami. Tiada jaminan yang internet akan kekal terbuka, menggembirakan dan selamat. Mozilla akan terus memberikan peluang kepada pengguna untuk bersuara dan mengawal sepenuhnya hidup mereka di dalam talian. Sudah tentu, kami tidak berseorangan. Komuniti Mozilla, bersama dengan banyak lagi projek sumber terbuka serta organisasi kepentingan pengguna, wujud semata-mata untuk menjadikan matlamat utama kami satu realiti. Jika anda ingin menyertai misi kami, mari libatkan diri.

Untuk maklumat lanjut tentang sejarah Mozilla, lihat berikutnya: