Perkhidmatan Langganan Mozilla | Terma Perkhidmatan

Versi 2.0, berkuat kuasa 05 Februari 2024

Mozilla Corporation menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk meningkatkan privasi dan keselamatan anda dalam talian, termasuk Mozilla VPN dan Firefox Relay (“Perkhidmatan”).

Mozilla VPN ialah Rangkaian Peribadi Maya yang dikongsikan bersama Mullvad. Ia merahsiakan trafik internet anda daripada penyedia perkhidmatan internet dengan menyulitkan dan menghalakannya melalui rangkaian rakan kongsi kami. Ia juga menggantikan alamat IP sebenar anda untuk merahsiakan alamat IP peribadi anda daripada orang lain, seperti laman web yang anda kunjungi.

Firefox Relay membolehkan anda menyimpan alamat e-mel utama anda dan nombor telefon dengan selamat dan secara peribadi dengan membuat topeng pada alamat e-mel anda dan nombor telefon yang membolehkan anda menghantar dan menerima e-mel, panggilan dan teks tanpa mendedahkan maklumat perhubungan sebenar anda.

Mozilla Monitor boleh mengawasi untuk melihat sama ada mana-mana akaun anda berada dalam pelanggaran data yang diketahui. Lihat Terma dan Privasi Mozilla Monitor.

Mozilla Monitor mengimbas untuk melihat jika kata laluan, nombor telefon atau maklumat peribadi anda yang lain telah dibocorkan dalam pelanggan data yang diketahui dan membantu anda mengambil langkah untuk mengeluarkan data anda daripada pembroker data.

Sila baca Terma Perkhidmatan ini dengan teliti kerana ia menerangkan maklumat penting tentang penggunaan Perkhidmatan oleh anda.

Melanggan Perkhidmatan Mozilla

Anda Memerlukan Akaun Mozilla

Akaun Mozilla diperlukan untuk menggunakan Perkhidmatan. Untuk mencipta akaun Mozilla, anda juga perlu bersetuju dengan Terma Perkhidmatan data Notis Privasi untuk akaun Mozilla anda.

Privasi Anda

Notis Privasi Perkhidmatan Langganan Mozilla menerangkan jenis maklumat yang dihantar apabila anda menggunakan Perkhidmatan dan cara kami mengendalikan dan berkongsi maklumat tersebut.

Mozilla ialah sebuah organisasi antarabangsa, dan komputer kami serta penyedia perkhidmatan komputer kami mungkin terletak di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat. Ini bermakna maklumat anda mungkin diproses oleh pelayan yang berada di luar negara di mana anda tinggal dan negara tersebut mungkin memiliki tahap kawalan perlindungan data yang berbeza daripada negara anda. Dengan memberikan kami maklumat, anda mengizinkan pemindahan maklumat anda seperti ini.

Pembayaran Anda

Pembayaran. Kami menawarkan Perkhidmatan dengan memperbaharui semula perkhidmatan langganan secara automatik. Apabila anda mendaftar, anda membenarkan kami untuk mengenakan caj yuran langganan pada kaedah pembayaran yang anda berikan untuk tempoh pertama Perkhidmatan yang anda daftarkan. Pelan anda akan diperbaharui secara automatik pada setiap hujung penggal, dan anda telah memberi kebenaran untuk kami mengenakan yuran langganan bagi setiap penggal. Jika anda berhenti membuat pembayaran, kami akan segera menggantung akaun anda dan akan menghapuskan akaun tersebut selepas 2 bulan tanpa pembayaran.

Dasar Bayaran Balik 30 Hari. Pada kali pertama anda melanggan perkhidmatan melalui laman web Mozilla, jika anda membatalkan akaun anda dalam masa 30 hari, anda boleh meminta bayaran balik dan Mozilla akan membayar balik langganan penggal pertama anda. Tawaran ini hanya terpakai pada kali pertama anda melanggan. Ini adalah sebagai tambahan kepada mana-mana hak yang mungkin anda miliki di bawah undang-undang pengguna di negara anda.

Pembelian melalui Apple atau Google App Stores. Sekiranya anda membeli langganan melalui pembelian dalam aplikasi daripada Apple App Store atau Google Play Store, pembayaran anda adalah tertakluk pada terma dan syarat App Store. Anda mesti memajukan kepada Apple atau Google, yang mana sesuai, sebarang pertanyaan berkaitan pengebilan dan bayaran balik untuk pembelian tersebut.

Anda Boleh Membatalkan Langganan Anda Pada Bila-bila Masa

Anda boleh membatalkan langganan Perkhidmatan pada bila-bila masa. Anda boleh melakukannya dengan mengklik pautan “Batalkan Langganan” pada mana-mana e-mel tentang Perkhidmatan yang kami hantar kepada anda atau dengan pergi ke bahagian Langganan & Pembayaran akaun Mozilla anda dan mengklik “Batal.” Jika anda memilih untuk membatalkan langganan, pembaharuan secara automatik akan dihentikan, kami tidak akan mengenakan bayaran kepada anda untuk mana-mana tempoh pembayaran akan datang dan anda akan kehilangan akses kepada Perkhidmatan pada hujung kitaran pengebilan semasa.

Mozilla VPN

Kami hanya menawarkan Mozilla VPN sebagai perkhidmatan langganan berbayar.

Anda Mesti Layak

Anda mesti berada di negara yang membolehkan Perkhidmatan memuat turun Mozilla VPN dan menggunakan Perkhidmatan. Pada masa ini, Perkhidmatan tersedia di Austria, Belgium, Bulgaria, Kanada, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Hungary, Ireland, Itali, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malaysia, Malta, Belanda, New Zealand, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Singapura, Sepanyol, Sweden, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Keizinan yang Diperlukan untuk Menyediakan Mozilla VPN

Mozilla VPN merupakan Rangkaian Peribadi Maya yang dikongsi bersama Mullvad. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara Perkhidmatan berfungsi, anda boleh melihat kod sumber Mozilla untuk program VPN.

Penggunaan Perkhidmatan oleh Anda. Jika anda mempunyai langganan berbayar semasa ke Mozilla VPN, Mozilla memberi anda kebenaran untuk menggunakan Mozilla VPN mengikut Terma Perkhidmatan ini. Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan peribadi anda. Anda tidak boleh memindahkan, sub lesen, menjual semula atau mengeksploitasi perkhidmatan secara komersial.

Anda memberi semua hak yang diperlukan kepada Mozilla dan Mullvad untuk mengendalikan Perkhidmatan, termasuk memproses data yang anda muat naik atau akses melalui Mozilla VPN. Anda boleh mengetahui lebih banyak maklumat tentang data yang diproses oleh Mozilla dan Mullvad dalam Notis Privasi Perkhidmatan Langganan Mozilla.

Had Peranti. Apabila langganan anda aktif, anda boleh menyambungkan sehingga 5 peranti ke Mozilla VPN.

Lesen Anda untuk Menggunakan Perisian. Perisian Mozilla VPN disediakan kepada anda di bawah terma-terma pelbagai lesen sumber terbuka, termasuk Lesen Umum Mozilla.

Firefox Relay

Kami menawarkan Firefox Relay sama ada sebagai perkhidmatan percuma atau perkhidmatan langganan berbayar. Perkhidmatan topeng nombor telefon ialah satu perkongsian dengan Twilio.

Anda Mesti Layak

Untuk menggunakan perkhidmatan langganan berbayar ini, anda mesti berada di negara yang menyediakan Firefox Relay.

  • Buat masa ini, perkhidmatan topeng nombor telefon hanya tersedia di Amerika Syarikat dan Kanada.
  • Perkhidmatan topeng e-mel disediakan di Austria, Belgium, Kanada, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Malaysia, Belanda, New Zealand, Singapura, Sepanyol, Sweden, Switzerland, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Keizinan yang Diperlukan untuk Menyediakan Firefox Relay

Penggunaan Relay oleh Anda. Jika anda mempunyai langganan berbayar semasa dengan Firefox Relay, Mozilla memberi anda kebenaran untuk menggunakannya mengikut Terma Perkhidmatan ini. Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan peribadi anda. Anda tidak boleh memindahkan, memberi sublesen, menjual semula atau mengeksploitasi Firefox Relay secara komersial. Anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Kandungan yang anda hantar dan akibatnya.

Anda memberi semua hak yang diperlukan kepada Mozilla dan Twilio untuk mengendalikan Firefox Relay, termasuk memproses alamat e-mel anda dan nombor telefon serta menghantar dan menerima e-mel, panggilan telefon dan mesej teks yang dihantar dan diterima daripada topeng yang anda cipta. Sekiranya e-mel tidak dapat dihantar kepada anda, kami akan menyimpannya pada pelayan kami dan akan menghapuskannya selepas e-mel ini dihantar (kami tidak akan menyimpannya lebih daripada tiga hari).

Kami menyimpan log nombor telefon yang telah anda hubungi melalui Relay untuk menunjukkan log panggilan dan teks anda, menghantar balasan teks dan menyekat nombor telefon. Mozilla telah menetapkan perkhidmatan Twilio untuk memadam rekodnya yang mengandungi mesej teks yang anda hantar dan terima melalui Firefox Relay selepas 7 hari. Kami tidak memantau atau menyimpan kandungan panggilan telefon yang anda buat melalui Firefox Relay.

Kami tidak membaca atau menyimpan kandungan sebarang mesej e-mel anda lebih lama berbanding masa yang diambil untuk menghantarnya kepada anda. Jika anda menggunakan ciri untuk menyekat e-mel promosi, Perkhidmatan ini akan memeriksa pengepala e-mel untuk menentukan sama ada e-mel perlu disekat.

Had dan Penyesuaian. Dengan perkhidmatan percuma, anda boleh mencipta sehingga 5 topeng e-mel secara rawak dan tiada topeng nombor telefon. Dengan langganan berbayar, anda boleh mencipta satu topeng nombor telefon, bilangan topeng e-mel tanpa had, dan anda mempunyai pilihan untuk mencipta subdomain tersuai untuk topeng e-mel anda.

Firefox Relay membenarkan sehingga 50 minit panggilan telefon dan sehingga 75 mesej teks SMS (termasuk yang dihantar dan diterima) sebulan. Sebarang mesej teks tambahan akan dipadamkan dan sebarang panggilan telefon tambahan tidak akan dapat dibuat. Firefox Relay tidak menyokong mesej MMS. Anda mungkin dikenakan caj kadar normal pembawa anda untuk minit telefon dan mesej teks.

Setelah anda memilih topeng nombor telefon, anda tidak boleh menukarnya. Disebabkan anda hanya boleh memilih satu topeng nombor telefon, anda hanya boleh membalas mesej teks terakhir yang anda terima. Firefox Relay tidak menyokong penghantaran mesej teks selain daripada membalas mesej teks terakhir yang anda terima.

Firefox Relay hanya akan menghantar lampiran e-mel sehingga 10 megabait. E-mel yang lebih besar akan dihapuskan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara Firefox Relay berfungsi dan data yang diproses oleh Mozilla dan Twilio, anda boleh melihat kod sumber Mozilla dan Notis Privasi Perkhidmatan Langganan Mozilla.

Mozilla Monitor

Kami menawarkan Mozilla Relay sama ada sebagai perkhidmatan percuma atau perkhidmatan langganan berbayar. Perkhidmatan pemberitahuan pelanggaran data percuma adalah perkongsian dengan Have I Been Pwned (“HIBP”). Perkhidmatan penghapusan data automatik merupakan perkongsian dengan OneRep untuk mengalih keluar maklumat peribadi yang diterbitkan dalam direktori dalam talian yang disediakan kepada awam dan pengumpul maklumat yang lain tentang para individu (“Tapak Broker Data”).

Anda Mesti Layak

Perkhidmatan pemberitahuan pelanggaran data percuma disediakan di seluruh dunia. Pada masa ini, perkhidmatan penghapusan broker data automatik hanya disediakan jika anda tinggal di United Kingdom.

Keizinan yang Diperlukan untuk Menyediakan Mozilla Monitor

Penggunaan Monitor oleh Anda. Jika anda mempunyai langganan berbayar semasa dengan Mozilla Monitor, Mozilla memberi anda kebenaran untuk menggunakannya mengikut Terma Perkhidmatan ini. Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan peribadi anda. Anda tidak boleh memindahkan, memberi sublesen, menjual semula atau mengeksploitasi Mozilla Monitor secara komersial. Anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Kandungan yang anda hantar dan akibatnya.

Anda memberikan Mozilla, OneRep dan HIBP semua hak yang perlu untuk mengendali Mozilla Monitor, termasuk hak untuk:

  • Menggunakan maklumat yang telah anda berikan kepada kami, termasuk maklumat yang mengenalpasti secara individu, bagi melaksanakan Perkhidmatan;
  • Untuk melakukan imbasan bagi pelanggaran data yang diketahui secara umum bagi maklumat peribadi yang anda telah berikan kepada kami bagi tujuan tersebut;
  • Menghubungi pihak ketiga, termasuk Tapak Broker Data, yang menyiarkan maklumat tentang anda.
  • Untuk mencipta akaun dalam talian dengan Tapak Broker Data menggunakan nama anda bagi tujuan menyediakan Perkhidmatan kepada anda (cth. Apabila perlu menyediakan akaun dengan Tapak Broker Data bagi menghantar permintaan pilihan keluar atau mengambil tindakan lain untuk mengalih keluar maklumat anda);
  • Untuk mengambil tindakan yang dinyatakan di atas bagi pihak anda.

Anda setuju dan meyakinkan Mozilla bahawa: * Semua maklumat yang anda sediakan adalah tepat dan benar; * Anda tidak akan menggunakan atau menyediakan sebarang maklumat yang palsu, menipu atau tidak tepat; * Anda tidak akan menyamar sebagai sesiapa atau menyalahgambarkan identiti anda atau gabungan anda dengan mana-mana orang; * Penggunaan Perkhidmatan oleh anda akan mematuhi Dasar Penggunaan Boleh DiterimaMozilla. * Anda tidak akan menggunakan Perkhidmatan untuk melanggar hak sesiapa atau melanggar sebarang undang-undang.

Sila ambil perhatian bahawa masa mungkin diambil sehingga 2 bulan mulai penerimaan maklumat lengkap yang diperlukan oleh kami untuk menyediakan Perkhidmatan bagi permintaan pilihan keluar untuk ditangani oleh Tapak Broker Data.

Had. Anda memahami bahawa keputusan Perkhidmatan adalah berhubungkait secara langsung dengan kesegeraan dan kelengkapan maklumat yang diberikan oleh anda kepada kami. Walaupun Mozilla Monitor dan Have I Been Pwned, berusaha untuk memiliki data terkini, tiada jaminan bahawa kedua-duanya akan memiliki rekod yang lengkap atau tepat pada masanya bagi semua pelanggaran data awam.

Anda juga memahami bahawa Mozilla tidak mengawal broker data dan oleh itu tidak menjamin bahawa mereka akan memenuhi permintaan untuk menghapuskan data. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang data yang diproses oleh Mozilla, HIBP dan OneRep, anda boleh baca Notis Provasi Perkhidmatan Langganan Mozilla.

Perkara Penting Lain untuk Diketahui

Maklum Balas dan Cadangan Anda. Jika anda memberi sebarang idea, cadangan atau maklum balas kepada Mozilla tentang Perkhidmatan, anda memberi keizinan kepada Mozilla untuk menggunakannya secara percuma dan tanpa sebarang kewajipan tambahan.

Hak Milik Intelek Mozilla. Mozilla mahupun pemberi lesennya tidak memberikan anda sebarang hak harta intelek dalam Perkhidmatan yang tidak dinyatakan secara khusus dalam Terma ini. Sebagai contoh, Terma ini tidak memberi hak untuk menggunakan sebarang hak cipta, tanda perniagaan atau ciri jenama khusus Mozilla atau pemberi lesen yang lain.

Anda Bertanggungjawab Terhadap Akibat daripada Penggunaan Perkhidmatan oleh Anda

  • Anda juga bersetuju bahawa penggunaan Perkhidmatan oleh anda akan mematuhi Syarat Penggunaan Mozilla.
  • Anda memberi jaminan kepada Mozilla bahawa anda tidak akan menggunakan Perkhidmatan untuk melanggar hak sesiapa atau melanggar sebarang undang-undang.
  • Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang berkenaan, anda bersetuju bahawa Mozilla tidak akan bertanggungjawab dalam apa jua cara untuk sebarang ketidakupayaan dalam menggunakan Perkhidmatan, untuk sebarang batasan dalam perkhidmatan dan sebarang tuntutan yang timbul daripada terma-terma ini. Mozilla secara khusus menafikan yang berikut: Kerosakan tidak langsung, khas, sampingan, akibat, atau teladan, kerosakan langsung atau tidak langsung disebabkan kehilangan muhibah, penghentian kerja, kehilangan keuntungan, kehilangan data atau kerosakan komputer. Sebarang liabiliti untuk Mozilla di bawah perjanjian ini adalah terhad kepada $500.
  • Anda bersetuju untuk menanggung rugi dan memastikan Mozilla tidak menerima mudarat atas sebarang liabiliti atau tuntutan yang terhasil daripada penyertaan anda dalam Perkhidmatan, setakat yang dibenarkan oleh undang-undang berkenaan.
  • Mozilla menyediakan Perkhidmatan “seadanya.” Sejauh mana yang diizinkan oleh undang-undang yang berlaku, Mozilla secara khusus menolak sebarang jaminan atau waranti undang-undang seperti “kebolehdagangan,” “kesesuaian untuk tujuan tertentu,” “bukan pelanggaran,” dan jaminan yang timbul dari suatu urusan, penggunaan atau perdagangan
  • Anda mungkin mempunyai hak lain di bawah undang-undang negara anda sendiri. Tidak ada dalam Terma Perkhidmatan ini yang bertujuan untuk menjejaskan hak tersebut, jika berlaku.

Mengemas kini atau Menamatkan Terma ini

  • Mozilla Boleh Mengemas Kini Terma Ini. Dari semasa ke semasa, Mozilla boleh memutuskan untuk mengemas kini Terma ini. Kami akan menghantar Terma yang dikemas kini secara dalam talian. Kami akan menganggap penggunaan berterusan Perkhidmatan oleh anda sebagai penerimaan kepada perubahan tersebut. Kami akan meletakkan tarikh kuat kuasa pada bahagian atas halaman ini untuk menjelaskan masa kami membuat kemas kini terbaru.

  • Penamatan. Terma-terma ini terpakai sehingga sama ada anda atau Mozilla membuat keputusan untuk menamatkan terma. Anda boleh memilih untuk menamatkannya pada bila-bila masa atas apa-apa sebab dengan menghentikan penggunaan Perkhidmatan dan membatalkan langganan anda. Mozilla boleh menggantung atau menamatkan akses sesiapa sahaja kepada Perkhidmatan pada bila-bila masa atas apa-apa sebab, termasuk jika Mozilla memutuskan untuk menamatkan Perkhidmatan. Sekiranya kami memutuskan untuk menggantung atau menamatkan akses anda, kami akan berusaha untuk memberitahu anda di alamat e-mel yang berkaitan dengan akaun anda atau pada waktu berikutnya anda cuba mengakses akaun anda.

Jika kami menamatkan akses anda ke Perkhidmatan tanpa sebab yang khusus, anda akan terus mendapat akses ke Perkhidmatan untuk tempoh pengebilan semasa atau kami akan memberi bayaran balik untuk bulan semasa. Walau bagaimanapun, kami berhak untuk menamatkan penggunaan Perkhidmatan ini jika kami percaya bahawa anda telah melanggar Syarat Penggunaan atau anda telah melanggar Terma-terma ini.

Pilihan Undang-undang. Undang-undang California terpakai untuk kontrak ini, melainkan untuk percanggahan undang-undang California. Jika terdapat sebarang percanggahan antara versi kontrak dalam bahasa Inggeris ini dengan versi penterjemahan, versi bahasa Inggeris ini akan digunakan.

Hubungi Mozilla

Mozilla Corporation
Attn: Mozilla – Legal Notices
149 New Montgomery Street
4th Floor
San Francisco, CA 94105

legal-notices@mozilla.com