Apa itu pelayar web?
Pelayar web membawa anda ke mana sahaja di internet, yang membolehkan anda melihat teks, imej dan video dari seluruh pelosok dunia.
Web ialah alat yang begitu besar dan hebat. Selama beberapa dekad, internet telah mengubah cara kita bekerja, cara kita bermain dan cara kita berinteraksi antara satu sama lain. Bergantung pada cara internet digunakan, ia dapat menghubungkan negara, mendorong perdagangan, memupuk hubungan, memacu mesin inovasi masa depan dan bertanggungjawab atas lambakan meme yang membuat kita terfikir di mana lagi hendak diletakkan.
Penting untuk setiap orang mempunyai akses kepada web dan penting juga untuk kita semua memahami alatan yang kita gunakan untuk mengaksesnya. Kita menggunakan pelayar web seperti Mozilla Firefox, Google Chrome, Microsoft Edge dan Apple Safari setiap hari, tetapi adakah kita memahami apakah ia dan bagaimana ia berfungsi? Dalam jangka waktu yang singkat kita telah beralih daripada berasa takjub dengan kemampuan menghantar e-mel kepada sesiapa saja di seluruh dunia, kepada perubahan dalam cara kita memikirkan maklumat. Ia bukan lagi persoalan tentang berapa banyak yang anda tahu, tetapi persoalan tentang pelayar atau aplikasi manakah yang dapat membawakan anda kepada maklumat tersebut dengan cara terpantas.
Bagaimanakah pelayar web berfungsi?
Pelayar web membawa anda ke mana sahaja di internet. Ia mengambil maklumat daripada bahagian lain di web dan memaparkannya di desktop atau peranti mudah alih anda. Maklumat tersebut dipindahkan menggunakan Protokol Pindahan Hiperteks, yang menentukan cara teks, imej dan video dihantar di web. Maklumat ini perlu dikongsi dan dipaparkan dalam format yang konsisten supaya orang yang menggunakan sebarang pelayar, di mana sahaja di seluruh pelosok dunia dapat melihat maklumat tersebut.
Malangnya, tidak semua pembuat pelayar memilih untuk mentafsirkan format dengan cara yang sama. Bagi pengguna, ini bermaksud laman web akan kelihatan dan akan berfungsi secara berbeza. Pewujudan kekonsistenan antara pelayar, agar semua pengguna dapat menikmati internet tanpa mengira pelayar yang mereka pilih, dinamakan standard web.
Apabila pelayar web mengambil data daripada pelayan yang tersambung ke internet, ia menggunakan perisian yang disebut enjin hurai untuk menterjemahkan data tersebut menjadi teks dan imej. Data ini ditulis dalam Bahasa Penanda Hiperteks (HTML) dan pelayar web akan membaca kod ini untuk menghasilkan apa yang kita lihat, dengar dan alami di internet.
Hiperpautan membolehkan pengguna mengikuti laluan ke halaman atau laman lain di web. Setiap halaman web, imej dan video mempunyai Pelokasi Sumber Seragam (URL) sendiri, yang juga dikenali sebagai alamat web. Apabila pelayar mengunjungi pelayan untuk mendapatkan data, alamat web memberitahu pelayar tempat untuk mencari setiap item yang dihuraikan dalam html, yang kemudian memberitahu pelayar ke mana ia pergi di halaman web.
Kuki (bukan jenis yang enak)
Laman web menyimpan maklumat tentang anda dalam fail yang dipanggil kuki. Kuki tersebut disimpan pada komputer untuk kunjungan akan datang anda ke laman web tersebut. Apabila anda kembali, kod laman web akan membaca fail tersebut untuk melihat bahawa itu adalah anda. Contohnya, semasa anda pergi ke laman web, halaman tersebut mengingat nama pengguna dan kata laluan anda – yang dimungkinkan oleh kuki.
Terdapat juga kuki yang mengingati maklumat yang lebih terperinci tentang anda. Boleh jadi minat anda, pola pelayaran laman web anda, dll. Ini bermaksud, laman web boleh memberikan anda kandungan yang lebih bersasaran – selalunya dalam bentuk iklan. Terdapat jenis kuki yang dipanggil kuki pihak ketiga, yang datang daripada laman web yang tidak pun anda kunjungi pada masa itu dan dapat menjejaki anda dari laman web ke laman web untuk mengumpulkan maklumat tentang anda, yang kadang-kadang dijual kepada syarikat lain. Kadangkala anda boleh menyekat kuki jenis ini, walaupun tidak semua pelayar membolehkan anda berbuat demikian.
Memahami privasi
Hampir semua pelayar utama mempunyai tetapan pelayaran peribadi. Ini wujud untuk menyembunyikan sejarah pelayaran daripada pengguna lain pada komputer yang sama. Ramai orang menganggap bahawa mod pelayaran peribadi atau penyamaran akan menyembunyikan identiti dan sejarah pelayaran mereka daripada penyedia perkhidmatan internet, kerajaan dan pengiklan. Itu tidak benar. Tetapan ini hanya mengosongkan sejarah pada sistem anda, yang berguna jika anda berurusan dengan maklumat peribadi yang sensitif pada komputer yang dikongsi atau komputer awam. Firefox melangkah lebih jauh daripada itu.
Firefox membantu anda menjadi lebih sendirian dalam talian dengan membolehkan anda menyekat penjejak daripada mengekori anda di seluruh web.
Menjadikan pelayar web bersesuaian dengan anda
Kebanyakan pelayar web utama membolehkan pengguna mengubah pengalaman mereka melalui sambungan atau tambahan. Sambungan ialah perisian kecil yang boleh anda tambah kepada pelayar anda untuk menyesuaikan atau menambah fungsinya. Sambungan boleh melakukan semua perkara yang menyeronokkan dan praktikal seperti mendayakan ciri baru, kamus bahasa asing ataupun penampilan dan tema visual.
Semua pembuat pelayar membangunkan produk mereka untuk memaparkan imej dan video dengan lancar dan sepantas mungkin bagi memudahkan anda memanfaatkan web sepenuhnya. Mereka semua bekerja keras untuk memastikan pengguna mempunyai pelayar yang pantas, kukuh dan mudah digunakan. Di mana perbezaannya bermaksud mengapa ia berbeza. Penting untuk anda memilih pelayar yang sesuai. Mozilla membina Firefox untuk memastikan pengguna mempunyai kawalan terhadap kehidupan dalam talian mereka dan untuk memastikan internet itu global, sumber awam dan boleh diakses oleh semua orang.