Mozilla

mozilla

Manifesto Mozilla

Pengenalan

Kepentingan Internet sebagai sebahagian daripada hidup kita telah kian meningkat.

Projek Mozilla merangkumi sebuah komuniti global, terdiri daripada mereka yang mempercayai bahawa sikap terbuka, inovasi dan kewujudan peluang adalah kunci kepada kesihatan Internet yang berpanjangan. Sejak tahun 1998, kami telah berusahasama untuk memastikan bahawa Internet dibangunkan di dalam cara yang membawa manfaat kepada semua. Kami paling luas dikenali dengan hasil penciptaan penyembak seimbas Mozilla Firefox.

Projek Mozilla menggunakan pendekatan berasaskan komuniti untuk menghasilkan perisian sumber terbuka bertaraf dunia dan membentuk pelbagai kegiatan bersama yang baru. Kami membentuk komuniti-komuniti di mana semua ahli terlibat di dalam usaha untuk menjadikan pengalaman penggunaan Internet lebih baik kepada kita semua.

Hasil dari usaha ini, kami juga telah memilih beberapa prinsip yang kritikal dalam dunia Internet untuk terus memberi manfaat sama ada kepada umum atau dalam aspek kehidupan yang komersial. Berikut adalah prinsip yang dimaksudkan.

Matlamat-matlamat Manifesto ini adalah untuk:

  1. menyatakan satu visi untuk Internet untuk dikejari oleh Yayasan Mozilla berdasarkan kehendak para peserta Mozilla;
  2. menyampaikan maksud kepada semua tanpa mengira sama ada mereka memliki latar belakang teknikal;
  3. menjadikan para penyumbang Mozilla bangga terhadap usaha kami dan mendorong kami untuk terus berusaha; dan
  4. membekalkan rangka rujukan bagi membolehkan pihak lain untuk meneruskan perjuangan visi Internet.

Prinsip-prinsip ini tidak akan hidup dengan sendiri. Penglibatan manusia diperlukan untuk menjadikan Internet terbuka dan bersatu - manusia yang berfungsi sebagai individu, bekerjasama di dalam kumpulan, dan memainkan peranan sebagai pemimpin. Yayasan Mozilla tekad memperjuangkan prinsip-prinsip yang tertera di dalam Manifesto Mozilla. Kami mengalukan pihak lain untuk turut serta di dalam usaha kami menjadikan Internet sebuah tempat yang jauh lebih baik untuk semua.

Prinsip

  1. Internet adalah bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan moden - komponen utama di dalam pendidikan, komunikasi, usahasama, perniagaan, hiburan dan masyarakat secara keseluruhan.
  2. Internet adalah sumber awam global yang harus kekal terbuka dan mudah didapati.
  3. Internet harus memperkayakan hidup setiap individu.
  4. Keselamatan individu di dalam Internet adalah kepentingan utama dan tidak boleh dianggap sebagai pilihan semata-mata.
  5. Setiap individu harus memiliki kemampuan untuk menentukan pengalaman Internet mereka yang sendiri.
  6. Keberkesanan Internet sebagai sumber awam bergantung kepada tahap kebolehan interoperasi (protokol-protokol, format data, isi kandungan), inovasi dan penyertaan yang terpencar di serata dunia.
  7. Perisian yang percuma dan sumber terbuka menggalakkan pembangunan Internet sebagai satu sumber awam.
  8. Proses-proses berasaskan komuniti yang transparen menggalakkan penyertaan, bertanggungjawab dan kepercayaan.
  9. Penglibatan komersial di dalam pembangunan Internet membawa banyak manfaat; keseimbangan di antara matlamat-matlamat komersil dan manfaat awam adalah amat penting.
  10. Menekankan dan memperketengahkan aspek-aspek manfaat awam Internet merupakan matlamat penting yang berbaloi semua masa, perhatian dan komitmen yang dicurahkan.

Memperketengahkan Manifesto Mozilla

Banyak cara boleh digunakan untuk menegetengahkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Manifesto Mozilla. Kami mengalukan kepelbagaian aktiviti yang luas, dan menantikan kreativiti seperti yang telah ditunjukkan oleh peserta Mozilla di bahagian-bahagian projek yang lain. Bagi mereka yang tidak terlibat dengan begitu mendalam di dalam projek Mozilla, satu cara yang asas dan berkesan untuk menyokong Manifesto ini adalah dengan menggunakan Mozilla Firefox dan produk-produk lain yang merangkumi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Manifesto.

Ikrar Yayasan Mozilla

Yayasan Mozilla berikrar akan menyokong Manifesto Mozilla di dalam aktiviti- aktivitinya. Kami, dengan khususnya, akan:

  • membina dan melancarkan teknologi berserta komuniti yang menyandang prinsip-prinsip Manifesto ini;
  • membina dan membekalkan produk pengguna berkualiti tinggi yang menyandang prinsip-prinsip Manifesto;
  • menggunakan aset-aset Mozilla (harta intelek seperti hakcipta dan tanda niaga, infrastruktur, sumber kewangan, dan reputasi ) untuk mengekalkan Internet sebagai satu platform yang terbuka;
  • mempromosikan model untuk menjana nilai ekonomi untuk kebaikan awam; dan
  • mempromosikan prinsip-prinsip Manifesto Mozilla di dalam wacana awam dan di dalam industri Internet.

Sesetengah kegiatan Yayasan – yang pada waktu ini terdiri daripada penghasilan, penghantaran dan promosi produk-produk pengguna - kebanyakannya dijalankan melalui subsidiari yang dimiliki penuh oleh Yayasan Mozilla, Mozilla Corporation.

Jemputan

Yayasan Mozilla menjemput semua mereka yang menyokong prinsip-prinsip Manifesto Mozilla untuk turut serta dan mencari cara-cara baru untuk menjadikan wawasan Internet ini satu realiti.