Manifesto Mozilla
Pengenalan
Internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Projek Mozilla adalah komuniti global yang percaya bahawa keterbukaan, inovasi, dan peluang adalah kunci kepada kesihatan internet yang berterusan. Kami telah bekerjasama sejak 1998 bagi memastikan internet dibangunkan dengan cara yang memberi faedah kepada semua orang. Kami paling dikenali sebagai pereka pelayar webMozilla Firefox.
Projek Mozilla menggunakan pendekatan berasaskan komuniti bagi mencipta perisian sumber terbuka bertaraf dunia serta membangunkan aktiviti kerjasama yang baru. Kami mengasaskan komuniti yang terlibat dalam menjadikan pengalaman internet lebih baik untuk kita semua.
Hasil usaha ini, kami telah mengenal pasti prinsip-prinsip yang kami yakini penting bagi internet untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat termasuklah aspek komersial dalam kehidupan. Prinsip kami adalah seperti berikut.
Matlamat Manifesto ini ialah:
- menjelaskan satu visi internet di mana peserta Mozilla mahukan Mozilla Foundation turuti;
- bercakap dengan pengguna sama ada mereka mempunyai latar belakang teknikal atau tidak;
- menjadikan penyumbang Mozilla bangga dengan apa yang mereka laksanakan dan memotivasikan kami untuk terus maju; dan
- membekalkan rangka kerja untuk pengguna lain memajukan lagi visi internet ini.
Prinsip ini tidak akan dicapai dengan sendirinya. Tenaga manusia diperlukan bagi menjadikan internet terbuka dan untuk semua - pengguna bertindak sebagai individu, bekerjasama dalam kumpulan, dan memimpin yang lain. Mozilla Foundation komited untuk memajukan prinsip-prinsip yang dijelaskan dalam Manifesto Mozilla. Kami menjemput lebih ramai lagi untuk menyertai kami dan menjadikan internet sebuah tempat yang lebih baik untuk semua orang.
Prinsip-prinsip
- Internet adalah sumber yang penting dalam kehidupan moden—komponen yang penting dalam pendidikan, komunikasi, kolaborasi, perniagaan, hiburan dan masyarakat secara keseluruhan.
- Internet merupakan suatu sumber awam global di mana keterbukaan dan aksesnya perlu dikekalkan.
- Internet perlu menjadi pemacu dalam memperkaya kehidupan manusia sejagat.
- Keselamatan dan privasi individu di internet adalah keperluan asas dan bukannya dianggap sebagai pilihan.
- Individu perlu berkemampuan untuk membentuk internet dan pengalaman peribadi mereka sendiri di internet.
- Keberkesanan internet sebagai sumber awam bergantung kepada kebolehannya beroperasi (protokol, format data, kandungan), inovasi serta penyertaan tidak berpusat di seluruh dunia.
- Perisian percuma dan sumber terbuka menggalakkan perkembangan internet sebagai sumber awam.
- Proses telus yang berasaskan komuniti menggalakkan penyertaan, rasa tanggungjawab dan kepercayaan.
- Penglibatan secara komersial dalam pembangunan internet membawa banyak faedah; keseimbangan keuntungan komersial dan manfaat awam amat kritikal.
- Memberi fokus terhadap aspek manfaat awam di internet adalah matlamat yang penting dan ia memerlukan masa, perhatian dan komitmen.
Membawa Manifesto Mozilla Ke Hadapan
Ada banyak cara untuk memajukan prinsip-prinsip Manifesto Mozilla. Kami mengalu-alukan pelbagai jenis aktiviti, dan menjangkakan daya kreativiti yang sama seperti yang ditunjukkan oleh peserta Mozilla dalam projek-projek sebelumnya. Bagi individu yang tidak terlalu terbabit dengan projek Mozilla, asas utama yang boleh menunjukkan tanda sokongan adalah menyokong Manifesto menggunakan Mozilla Firefox dan produk-produk lain yang merangkumi prinsip Manifesto.
Ikrar Mozilla Foundation
Mozilla Foundation berikrar untuk menyokong Manifesto Mozilla dalam aktivitinya. Secara khususnya, kami akan:
- membina dan membolehkan teknologi sumber terbuka dan komuniti yang menyokong prinsip-prinsip Manifesto;
- membina dan menawarkan produk pengguna terbaik yang menyokong prinsip-prinsip Manifesto;
- menggunakan aset-aset Mozilla (harta intelek seperti hak cipta dan tanda dagangan, infrastruktur, dana dan reputasi) untuk mengekalkan internet sebagai platform terbuka
- mempromosikan model bagi mencipta nilai ekonomi bagi kepentingan awam; dan
- mempromosikan prinsip-prinsip Manifesto Mozilla dalam wacana awam dan terhad di dalam industri internet.
Beberapa aktiviti Yayasan—seperti pembangunan, pelancaran dan promosi bagi produk pengguna—dijalankan terutamanya melalui anak syarikat milik penuh Mozilla Foundation iaitu Mozilla Corporation.
Jemputan
Mozilla Foundation menjemput anda semua yang menyokong prinsip-prinsip Manifesto Mozilla untuk menyertai kami dan mencari jalan untuk menjadikan visi internet ini satu realiti.